PEDRO PARDO / AFP

Nasihat Keselamatan CPJ: Liputan wabak koronavirus

Dikemaskini Mei 20, 2021

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak COVID-19 (novel koronavirus) sebagai pandemik pada Mac 11, 2020. Situasi global terus berkembang, dan menurut laporan berita, negara-negara sedang meningkatkan atau melonggarkan sekatan perjalanan dan/atau langkah-langkah berkaitkan keselamatan setelah varian baru koronavirus dikenalpasti dan program vaksinasi COVID-19 semakin pantas.

Wartawan sedunia memainkan peranan penting untuk memaklumkan orang ramai mengenai virus dan usaha kerajaan dalam menangani gejala ini, namun terdapat sesetengah kerajaan yang telah menghalang liputan bebas dan perolehan maklumat, seperti yang dirakamkan oleh CPJ. Pengamal media menghadapi tekanan dan tegangan tinggi, dan kerap terdedah kepada jangkitan melalui perjalanan, temuramah dan lokasi pekerjaan, menurut temuramah CPJ dengan para wartawan. Wartawan telah menghadapi penapisan, tahanan, gangguan fizikal dan dalam talian, kehilangan mata pencarian disebabkan oleh Covid-19, seperti yang dilaporkan oleh CPJ baru-baru ini

Untuk mengikuti maklumat nasihat dan sekatan terkini, para wartawan membuat liputan wabak haruslah memantau maklumat dari WHO dan badan kesihatan awam tempatan. Untuk perkembangan wabak terkini, Pusat Sumber Koronavirus Universiti Johns Hopkins (Johns Hopkins University Coronavirus Resource Center) merupakan sumber yang selamat dan boleh dipercayai.

KESELAMATAN KETIKA TURUN PADANG

Sekatan perjalanan antarabangsa dan/atau langkah-langkah berkaitan keselamatan seringkali berubah, ini bermakna tugasan boleh berubah atau dibatalkan dengan sedikit atau tanpa notis.

Pengamal media yang telah divaksin harus maklum bahawa mereka masih boleh menyebar virus tersebut, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika (CDC), dan vaksin berlainan memberi tahap perlindungan yang berbeza terhadap setiap varian virus, mengikut Yale Medicine. Langkah-langkah berkaitan keselamatan COVID-19, seperti penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka haruslah sentiasa dipatuhi. 

Mereka yang bercadang membuat liputan wabak COVID-19 harus memberi perhatian kepada tatatertib keselamatan:

PRA-TUGASAN

Sekiranya ada, pertimbangkan untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 terlebih dahulu sebelum sebarang tugasan jika vaksin tersebut selamat untuk anda, terutamanya jika bekerja atau melawat kawasan dengan kadar jangkitan yang tinggi

Bergantung kepada kadar jangkitan di lokasi dan destinasi anda, wawancara melalui telefon atau online haruslah dilakukan dan bukan bersemuka untuk mengurangkan risiko penularan dan / atau pendedahan

Menurut CDC, warga tua dan individu-individu dengan latar belakang uzur seperti diabetes dan obesiti adalah berisiko tinggi. Jika anda tergolong di bawah kategori-kategori ini, dan bergantung kepada kadar jangkitan, anda seharusnya mengelak dari mengambil bahagian dalam sebarang tugasan yang meletakkan anda secara langsung dengan orang awam.  Pertimbangan juga perlu diberi kepada pekerja yang hamil

Apabila memilih kakitangan untuk tugasan wabak COVID-19, pihak pengurusan seharusnya sedar akan potensi serangan perkauman terhadap kewarganegaraan tertentu, seperti yang ditekankan oleh The New York Times

Sekatan perjalanan antarabangsa dan langkah-langkah perintah berkurung boleh berubah dengan sedikit atau tanpa amaran. Bincang apakah pelan pihak pengurusan untuk membantu dan menyokong anda sekiranya anda jatuh sakit ketika menjalankan tugas, dengan mengambil kira kemungkinan mengasingkan diri dan/atau dimasukkan ke zon kuarantin/berkurung untuk tempoh masa yang panjang. 

Kesejahteraan Psikologi

Wartawan yang paling berpengalaman pun mungkin mengalami masalah psikologi apabila membuat liputan mengenai pandemik Covid-19, menurut Reuters Institute at the University of Oxford. Pihak pengurusan harus periksa secara berkala keadaan kakitangan dan memberi bimbingan dan sokongan jika dan apabila perlu. 

Pertimbangkan kebarangkalian impak psikologi daripada membuat liputan dari lokasi atau kawasan dilanda COVID-19, terutamanya jika membuat liputan dari fasiliti perubatan atau pengasingan, atau zon kuarantin. Sumber berguna untuk pihak media membuat liputan keadaan traumatic boleh didapati melalui Pusat DART untuk Kewartawanan dan Trauma (DART Center for Journalism and Trauma). Layari laman CPJ Emergencies’ untuk sumber luaran keselamatan, termasuk amalan terbaik kesihatan mental untuk para wartawan membuat liputan COVID-19.

Mengelakkan Jangkitan & Menjangkiti Orang Lain

Kebanyakan negara mengamalkan penjarakan sosial/fizikal, namun jarak yang disyorkan mungkin berbeza bergantung kepada negara yang anda berada. Jika membuat liputan di lokasi berisiko tinggi seperti mana-mana yang berikut, ketahuilah dahulu apakah langkah kebersihan yang sedia ada. Jika mempunyai kemusykilan, jangan lawat lokasi tersebut.

● Sebarang fasiliti kesihatan

● Rumah orang tua

Rumah sesiapa yang sakit, tua, hamil, atau mempunyai masalah kesihatan

Sebarang tempat kerja yang risiko penularan dianggap tinggi (spt. Kilang pemprosesan daging)

● Bilik mayat, rumah mayat, krematorium, atau rumah pengebumian

● Kawasan kuarantin, pengasingan atau berkurung

● Kawasan kediaman padat di bandar (spt. setinggan atau favela)

Kem pelarian atau penjara/pusat tahanan dengan kes COVID-19

Cadangan piawai untuk mengelak jangkitan termasuk:

Mengekalkan jarak fizikal selamat yang disyorkan, yang mungkin berbeza mengikut nasihat kerajaan tempatan. Anda perlu berhati-hati terutamanya di kalangan mereka yang menunjukkan tanda-tanda atau simptom penyakit pernafasan, seperti batuk dan bersin, dan/atau apabila menemuramah warga tua, mereka yang mempunyai penyakit, sesiapa yang rapat dengan individu yang simptomatik, pekerja kesihatan yang merawat pesakit COVID-19, atau pekerja di lokasi berisiko tinggi

Cuba menjalankan temuramah di ruang luar. Jika anda perlu menemuramah di ruang tertutup, pilihlah lokasi yang mempunyai sebarang aliran udara (spt. Tingkap terbuka) dan elakkan tempat yang kecil dan himpit.

Elakkan bersalam tangan dengan orang lain termasuk peluk dan cium

● Cuba berdiri pada suatu sudut terhadap subjek anda ketika temuramah dan bukan secara bersemuka, sambil mengamalkan penjarakan fizikal selamat yang disyorkan

● Sentiasa cuci tangan dengan betul dan teliti, selama 20 saat setiap kali menggunakan air panas dengan sabun. Pastikan tangan dikeringkan dengan baik. Panduan yang berguna untuk mencuci dan mengering tangan dengan baik boleh didapati di laman web WHO.

Gunalah gel atau tisu basah anti-bakteria jika tiada air panas dan sabun, tetapi perlulah diikuti dengan air panas dan sabun secepat mungkin. (CDC menyarankan penggunaan pembasmi kuman tangan berasaskan alkohol dengan kandungan lebih daripada 60% etanol atau 70% isopropanol.) Jangan menggantikan amalan biasa membasuh tangan dengan menggunakan pembersih tangan. 

Sentiasa menutup mulut dan hidung ketika batuk dan bersin. Jika anda batuk atau bersin ke tisu, buang dengan serta-merta mengikut cara yang selamat dan sesuai, dan ingatlah cuci tangan dengan teliti selepas itu.

Elakkan menyentuh muka, hidung, mulut, telinga, dll., seperti yang ditekankan oleh BBC.

Elakkan minum/makan dari cawan, pinggan mangkuk, peralatan makanan yang mungkin telah disentuh/diguna oleh orang lain.

Semua rambut haruslah ditutup. Rambut panjang perlulah diikat dan diselip.

Keluarkan kesemua barang kemas dan jam tangan sebelum tugasan, mengambil maklum bahawa virus COVID-19 boleh kekal di pelbagai jenis permukaan untuk tempoh masa yang berbeza.

Jika anda memakai cermin mata, bersihkan secara teliti dengan kerap menggunakan air panas dan sabun.

Jikalau boleh, elakkan daripada memakai kanta lekap ketika membuat liputan kerana terdapat kemungkinan menyentuh mata anda dan meningkatkan risiko jangkitan

Pertimbangkan apa pakaian yang anda akan memakai, dengan mengambil kira fabrik tertentu lebih mudah dilap bersih daripada yang lain. Semua pakaian perlulah dibasuh dalam suhu panas dengan detergen selepas sebarang tugasan.

●Jikalau boleh, cuba elakkan dari mengguna wang tunai ketika bertugas, dan memastikan anda membersihkan kad kredit/debit, dompet, dan/atau beg tangan secara berkala. Elakkan dari meletak tangan anda dalam poket sebanyak yang mungkin

Pertimbangkan mod pengangkutan kepada dan dari tempat tugasan. Seboleh-bolehnya, elakkan perjalanan yang menggunakan pengangkutan awam ketika waktu sibuk dan memastikan penggunaan gel alkohol tangan ketika turun.

● Jika menggunakan kenderaan sendiri atau syarikat, berhati-hatilah penumpang yang berjangkit boleh merebak virus kepada orang lain dalam kenderaan, seperti yang ditekankan oleh BBC di India. Lakukan perjalanan dengan menurunkan tingkap kereta supaya terdapat aliran udara bagus di seluruh kenderaan, dan pertimbangkan penggunaan penutup muka atau pelitup muka ketika di dalam kenderaan tersebut

Ambil masa rehat dan prihatin terhadap tahap kelesuan/tenaga, ambil kira individu yang penat berkemungkinan tinggi melakukan kesilapan dengan rejim kebersihan. Juga memfaktorkan individu-individu yang perlu memandu perjalanan jauh sebelum dan selepas kerja

Peralatan Perlindungan Pegawai Perubatan (PPE)

Bergantung kepada jenis tugasan yang diberi, pengamal media mungkin perlu memakai pelbagai jenis PPE perubatan untuk melapor secara selamat. Ini boleh meliputi sarung tangan sekali pakai, pelitup muka, apron pelindung/pakaian satu keping longgar/pakaian satu keping ketat, dan penutup kasut pakai buang dll.

Memakai dan menanggalkan sebarang PPE perubatan memerlukan pemerhatian tegas dan kepatuhan terhadap amalan keselamatan terbaik. Sila klik sini untuk bimbingan am daripada CDC. Perhatian khusus harus diambil ketika menanggalkan PPE, kerana ini merupakan masa risiko pencemaran silang paling tinggi. Sekiranya ada keraguan, dapatkan bimbingan dan latihan pakar sebelum menjalankan tugas.

Sila ambil maklum bahawa sesetengah negara mungkin menghadapi bekalan pendek PPE perubatan dan/atau ia adalah sukar untuk diperolehi, jadi penggunaan peralatan sebegini akan menyebabkan kekurangan. 

● Pastikan sebarang PPE yang digunakan adalah dalam saiz yang betul. PPE yang tidak sesuai boleh koyak dan/atau menyekat pergerakan (jika terlalu ketat), dan mungkin tersangkut di objek seperti pemegang pintu dan koyak (jika terlalu longgar)

● Sentiasa gunakan PPE perubatan jenama ternama, memberi perhatian kepada spesifikasi minima keselamatan yang diperlukan. Berhati-hati dengan peralatan yang rosak dan/atau barangan tiruan. Senarai beberapa jenama terkemuka boleh dilihat disini

● Gunakan sarung tangan pelindung jika bekerja atau mengunjungi kawasan jangkitan seperti fasiliti rawatan perubatan. Ambil perhatian bahawa sarung tangan nitrile memberi perlindungan yang lebih tinggi daripada lateks. Memakai dua pasang meningkatkan keselamatan

● Jika membuat liputan di kawasan risiko tinggi seperti fasiliti rawatan perubatan, PPE perubatan tambahan seperti pakaian satu keping ketat dan topeng muka penuh amat mungkin diperlukan

● Jika memakai pakaian satu keping longgar, pastikan anda menggunakan tandas sebelum memakai PPE

● Bergantung kepada tugasan, anda mungkin perlu memakai kasut pakai buang atau mengguna pembalut kasut kalis air, kedua-duanya mesti dilap/dibilas dengan segera sejurus anda keluar dari lokasi terjejas. Jika menggunakan pembalut kasut kalis air, ia seharusnya dibuang secara selamat sebelum meninggalkan lokasi 

● Adalah disyorkan bahawa kesemua PPE perubatan yang dipakai/ditanggal adalah di bawah penyeliaan profesional terlatih, dengan mengambil kira waktu ini pendedahan mungkin berlaku. Video CDC untuk memakai dan menanggalkan pakaian mungkin boleh membantu, namun ia tidak seharusnya diguna sebagai gantian untuk latihan/penyeliaan

● Jangan mengguna semula PPE sekali pakai seperti sarung tangan, pakaian satu keping, apron, atau pembalut kasut. Sebarang peralatan yang perlu diguna semula mestilah dekontaminasi dengan betul dan dibersihkan. Pastikan kesemua PPE perubatan yang tercemar dibuang secara selamat SEBELUM meninggalkan lokasi terjejas

Pelitup Muka

Penggunaan pelitup muka dengan betul adalah amat penting untuk pengamal media yang melakukan tugasan di kalangan orang ramai, di ruangan himpit, dan/atau di lokasi berisiko tinggi. Anda harus berwaspada bahawa konsentrasi titisan virus di udara di ruangan himpit barangkali jauh lebih tinggi dari biasa, maka mempunyai potensi meningkatkan peluang pendedahan anda. 

Ambil perhatian bahawa melainkan diguna dengan betul, terdapat kebimbangan bahawa pelitup muka boleh menjadi sumber jangkitan. Suatu kajian oleh Lancet menunjukkan virus berjangkit masih dikesan selama tujuh hari di topeng pembedahan selepas pendedahan berlaku. Berdasarkan kajian ini, menanggalkan atau mengguna semula pelitup muka, atau menyentuh muka anda ketika memakainya, boleh membawa risiko jangkitan.

Jika anda memakai pelitup muka anda perlu mengikuti nasihat yang berikut:

● Jika membuat laporan di ruangan tertutup, berdekatan dengan orang lain atau dari lokasi berisiko tinggi, pelitup N95 (atau FFP2/FFP3) adalah disyorkan dan bukannya topeng “pembedahan” biasa

● Pastikan pelitup muka dipasang dengan selamat atas jambatan hidung dan dagu, meminimakan jurang antara muka dan pelitup.

● Pastikan rambut muka dicukur untuk memastikan pelitup kedap pada wajah

● Adalah penting untuk patuhi ketat keselamatan pelitup muka. Elakkan menyentuh pelitup muka dari depan, alihkan melalui tali, dan elakkan menyesuaikan pelitup muka melainkan ia amat perlu. Basuh tangan jika tersentuh pelitup muka.  

● Penggunaan semula pelitup muka adalah berisiko tinggi. Buanglah pelitup muka yang telah diguna dengan segera ke dalam beg tertutup.

● Seringkali membasuh tangan dengan sabun dan air panas selepas menanggal pelitup muka. Jika tidak mungkin, gunalah pembasmi kuman berasaskan alkohol (lebih daripada 60% etanol atau 70% isopropanol) tetapi seharusnya disusuli oleh basuhan dengan air panas dan sabun

● Gantikan pelitup muka dengan yang baru, bersih dan kering sebaik sahaja ia menjadi lembap

● Ingat, penggunaan pelitup hanyalah sebahagian daripada perlindungan peribadi, ia mesti dilengkapi dengan mencuci tangan dengan air panas dan sabun dengan kerap  dan elak menyentuh bahagian muka anda, termasuk mata, mulut, telinga, dan hidung 

● Harap maklum bahawa pelitup muka mungkin kekurangan dan/atau tertakluk kepada peningkatan harga yang ketara, bergantung kepada lokasi

Keselamatan Peralatan

Kemungkinan penyebaran COVID-19 melalui peralatan yang tercemar merupakan suatu hakikat. Rejim pembersihan dan pembasmian tegas seharusnya dilaksanakan dan dipatuhi setiap masa:

Guna boom mikrofon dari jarak selamat jika boleh. Mikrofon klip seharusnya hanya diguna dalam keadaan terkawal dan mengikut protokol kebersihan yang ketat

● Penutup mikrofon seharusnya dibasmi kuman dan dicuci pada suhu tinggi dengan bahan pencuci selepas setiap tugasan. Mintalah petunjuk/latihan bagaimana untuk mengeluarkan penutup dengan selamat untuk mengelakkan kebarangkalian pencemaran silang. Cuba elakkan penutup jenis “wind muff” jika boleh, kerana ia lebih susah untuk dibersihkan

● Jika boleh, guna alat dengar kos rendah dan anggapkan barangan ini sebagai pakai buang, terutamanya untuk tetamu. Lap dan basmi kuman kesemua alat dengar sebelum dan selepas digunakan

● Guna kanta telefoto untuk membantu menjaga jarak selamat ketika di lokasi

● Seberapa boleh, gunalah peralatan mudah alih dan bukan dengan yang berkabel

● Pertimbangkan bagaimana anda akan menyimpan peralatan ketika melakukan tugasan. Jangan tinggalkan peralatan merata dan letakkan semula peralatan ke dalam bekasnya dan tutup. (spt. bekas keras ‘flight case’, yang lebih mudah untuk mengelap dan bersihkan)

● Jika boleh dan praktikal, letakkan sebarang pembalut/perlindungan plastik keliling peralatan ketika menggunakannya. Ini akan mengurangkan risiko permukaan peralatan dicemar, dan memudahkan pembersihan dan pembasmian kuman

● Bawalah bateri tambahan yang dicas sepenuhnya dan elakkan dari mengecaj sebarang peralatan di lokasi, kerana ini bermakna terdapat objek lebihan yang mungkin dicemari

Seringkali dekontaminasi kesemua peralatan dengan tisu basah antimikrobial pantas seperti Meliseptol, diikuti dengan membasmi kuman, termasuk tetapi tidak terhad kepada telefon bimbit, tablet, kabel, palam, fon telinga, komputer riba, cakera keras, kamera, pas media, dan lanyard

Pastikan kesemua peralatan telah dikontaminasi sekali lagi sebelum pulang ke ibu pejabat, memastikan mereka yang bertanggungjawab untuk peralatan tersebut telah dimaklumkan dengan terperinci dan diberi latihan dalam membersihkan peralatan dengan selamat. Pastikan tiada peralatan ditinggal secara lengah dan merata tanpa dihantar ke staf yang bertanggungjawab untuk pembersihan

Jika kenderaan digunakan ketika tugasan, pastikan dalaman kenderaan tersebut dibersihkan dengan teliti selepas sebarang tugasan oleh pasukan profesional terlebih dahulu. Perhatian perlu diberi kepada pemegang pintu, roda stereng, cermin sayap, penyandar kepala, tali pinggang keledar, papan pemuka, dan tingkap/penutup getah/butang-butang 

Pembersihan Peralatan Elektrikal

Perkara berikut memberi bimbingan am mengenai pembersihan peralatan elektrikal. Sentiasa pastikan anda membaca bimbingan pengilang sebelum membuat sebarang pembersihan.

● Sentiasa cabut plag/mengeluarkan semua sumber tenaga, peralatan dan kabel

● Simpan sebarang cecair jauh dari peralatan anda, dan jangan guna penyembur aerosol, peluntur, dan pelelas – ini semestinya akan merosakkan peralatan anda

● Jangan menyembur sebarang bahan ke atas peranti anda

● Hanya gunakan kain yang tidak kasar, lembut, bebas serat

● Membuatkan kain tersebut lembap atau sedikit lembap tetapi bukannya basah.  Tambah sedikit sabun ke atas kain dan gosokkan kain dengan tangan

● Lap peranti beberapa kali dengan teliti

● Jangan biarkan kelembapan masuk ke mana-mana pembukaan (seperti soket pengecas, soket fon telinga, papan kekunci)

● Keringkan peranti anda dengan kain yang bersih, kering dan lembut

● Sesetengah pengilang mencadangkan tisu basah isopropil alkohol 70% untuk permukaan keras dan tidak berliang

● Periksa dahulu dengan pihak pengilang sebelum melakukan pembasmian kuman atas peralatan anda, sebab disinfektan boleh merosakkan peranti anda

Bimbingan yang lebih teliti boleh dibaca melalui artikel ini.

Keselamatan Digital

● Ambil perhatian bahawa para wartawan mungkin menghadapi peningkatan musuh dalam talian atau online berkaitan dengan laporan mereka mengenai wabak COVID-19. Semak amalan terbaik CPJ untuk melindungi diri anda daripada serangan

● Kerajaan dan syarikat teknologi semakin kerap menggunakan pengawasan sebagai cara untuk mengesan penyebaran COVID-19.  Ini termasuk Kumpulan NSO, yang mencipta Pegasus, sebuah spyware yang telah digunakan untuk menyasar wartawan, menurut Citizen Lab. Kumpulan kebebasan awam semakin prihatin tentang bagaimana teknik pengawasan ini akan digunakan untuk menyasar orang ramai setelah krisis kesihatan berakhir. Transparency International sedang mengikuti  perkembangan global ini di laman web mereka

● Menurut laporan, penjenayah sedang menggunakan krisis kesihatan ini untuk menyasar individu-individu dan organisasi-organisasi dengan penipuan-penipuan, antaranya yang paling biasa adalah yang berkaitan dengan peluncuran vaksin. Berhenti seketika dan fikir sebelum anda klik pautan atau muat turun dokumen yang mengandungi maklumat mengenai COVID-19 atau vaksin, kerana serangan canggih pancingan data mungkin boleh menyebabkan perisian hasad dipasang pada peranti anda, menurut Electronic Frontier Foundation,  Berhati-hati ketika klik pada mana-mana pautan berkaitan COVID-19 di media sosial atau aplikasi perhubungan, yang mungkin membawa anda ke laman web yang akan menjangkiti alat-alat dengan perisian hasad

● Sedar akan maklumat salah yang ditaja/dikeluarkan negara, seperti yang dilaporkan oleh The Guardian, serta maklumat salah secara umum, satu  amaran yang ditegaskan secara khusus oleh WHO dan yang telah ditekankan oleh BBC . Panduan membasmi mitos  boleh didapati di laman web WHO

● Bacalah mengenai persidangan dalam talian dan masalah privasi supaya anda sedar bagaimana perkhidmatan ini menggunakan data anda, apakah akses yang mereka ada, dan berapa selamatkah pelantar mereka. Berjaga-jaga bahawa dengan meningkatnya bilangan orang bekerja dari rumah, perkhidmatan sebegini telah disasar oleh penggodam

● Berjaga-jaga terhadap risiko yang timbul apabila membuat laporan mengenai atau dari negara-negara yang mempunyai rejim junta/autoritarian, yang mungkin memantau liputan wabak COVID-19. Sesetengah kerajaan mungkin cuba untuk menyembunyikan tahap wabak dan / atau menapis media, seperti yang ditekankan oleh CPJ 

Jenayah & Keselamatan Fizikal Ketika Bertugas

● Jika anda boleh membuat liputan antarabangsa (lihat di bawah), fahami situasi keselamatan terkini di destinasi anda, ambil perhatian bahawa terdapat insiden dan protes keganasan di merata dunia sejak permulaan pandemik. Segelintir wartawan telah melapor mereka seringkali diganggu secara lisan dan disasar oleh penjenayah, maka jangan mengambil ringan keselamatan anda

● Berhati-hati apabila membuat liputan di kawasan luar bandar. Orang ramai mungkin berasa waswas dan/atau marah terhadap ‘orang luar’ dengan ketakutan anda mungkin membawa jangkitan COVID-19

● Berjaga-jaga terhadap tindak balas polis yang melampau dengan langkah-langkah berkurung COVID-19, seperti serangan fizikal dan penggunaan gas pemedih mata

● Wartawan di negara-negara yang mempunyai rejim junta/autoritarian harus sedar akan ancaman ditangkap dan / atau dihantar pulang  ketika melaporkan tentang wabak COVID-19, seperti yang dipaparkan oleh CPJ 

Tugasan Luar Negara

Oleh kerana sekatan perjalanan seluruh dunia, perjalanan antarabangsa tetap merupakan suatu cabaran. Jika ada kemungkinan untuk bertugas di luar negara, anda perlu mengambil kira perkara-perkara berikut:

● Semak larangan perjalanan terkini dan / atau yang bakal dikuatkasakan untuk destinasi tujuan anda, sekiranya ia berubah dalam notis singkat

● Ambil perhatian langkah-langkah berkurung dan/atau perintah berkurung mungkin berbeza di bahagian negara yang berlainan. Ambil perhatian bahawa perintah berkurung tempatan boleh dilaksanakan dengan sedikit atau tanpa notis, maka seringlah memantau sumber tempatan untuk berita mengenai sebarang sekatan pergerakan dalam negara

Langkah-langkah kuarantin selepas pulang mungkin diperkenalkan/diubah dengan sedikit atau tanpa notis, bergantung kepada lokasi yang anda pulang dari, seperti yang dilihat baru-baru ini dengan mereka yang pulang ke United Kingdom dari Sepanyol.

● Kenal pasti kesemua kemudahan rawatan perubatan di kawasan operasi anda, dengan mengambil perhatian bahawa pekerja kesihatan boleh mogok atau protes dengan sedikit atau tanpa notis

● Akses kepada PPE perubatan mungkin terhad, tidak wujud dan/atau kualitinya curiga. Sentiasa membuat carian akan ketersedian stok sebelum sebarang tugasan, dan mengambil bekalan dengan anda jika perlu

Jika boleh, cuba mendapatkan vaksin COVID sebelum melakukan tugasan, dan memastikan semua vaksin berkaitan dan profilaksis penyakit adalah terkini untuk destinasi anda sebelum keberangkatan.

● Periksa polisi insurans perjalanan anda, dengan mengambil perhatian bahawa mendapatkan perlindungan insurans untuk destinasi berkaitan COVID-19 mungkin tidak dapat dilakukan. Kebanyakan kerajaan telah mengeluarkan pelbagai nasihat serta amaran perjalanan terhadap destinasi antarabangsa

● Kerap-kali periksa status acara yang anda rancang untuk hadir, dan mengambil kira bahawa  banyak negara telah mengharamkan perhimpunan awam sama sekali, atau ianya dihadkan kepada beberapa orang

● Banyak sempadan darat telah ditutup di seluruh dunia. Sempadan yang dibuka juga boleh ditutup semula tanpa amaran, sesuatu yang perlu diambil kira dalam perancangan luar jangkaan anda

● Jangan ke luar negara jika anda sakit. Kebanyakan lapangan terbang antarabangsa dan serantau, serta hab pengangkutan, telah melaksanakan langkah-langkah pemeriksaan kesihatan yang ketat. 

● Ambil maklum bahawa COVID-19 sedang menyebabkan masalah kewangan besar untuk syarikat-syarikat penerbangan, menurut laporan berita. Maka pertimbangkan membeli tiket penerbangan yang dapat dikembalikan sepenuhnya

● Semak keadaan visa terkini untuk destinasi tujuan anda dan ambil perhatian bahawa banyak negara telah berhenti mengeluarkan visa.

● Semak jika negara yang anda tuju memerlukan sijil perubatan untuk membuktikan anda bebas dari COVID-19.

● Kekalkan  jadual perjalanan yang fleksibel dan luangkan masa tambahan di lapangan terbang di seluruh dunia, dengan mengambil kira langkah pemeriksaan kesihatan dan stesen pemeriksaan suhu. Begitu juga di stesen kereta api, pelabuhan, dan stesen bas jarak jauh

Setelah Tamat Tugasan

● Terus memantau kesihatan anda untuk sebarang simptom

● Anda mungkin perlu mengasingkan diri setelah pulang dari lokasi berisiko tinggi. Sila semak nnasihat kerajaan yang berkaitan untuk mendapatkan kejelasan

● Pantau maklumat terkini mengenai COVID-19, serta prosedur kuarantin dan pengasingan yang dilaksanakan di kedua-dua lokasi asal dan destinasi anda

● Bergantung pada kadar jangkitan di negara anda, anda harus mempertimbangkan menyimpan diari dengan nama / nombor individu yang anda dekati selama 14 hari sejak anda pulang. Ini akan membantu kemungkinan pengesanan kenalan jika anda mula menunjukkan simptom

Jika anda mengalami simptom

  • Jika anda mempunyai simptom COVID-19, walau bagaimana ringanpun, beri tahu pihak pengurusan anda dan bekerjasama dengan mereka untuk mengambil pengangkutan yang sesuai dari lapangan terbang atau pengangkutan hab lain ke rumah anda. Jangan terus menaiki teksi
  • Ikuti nasihat WHO, CDC, atau pihak berkuasa kesihatan tempatan untuk melindungi diri anda dan masyarakat anda
  • Jangan tinggalkan rumah anda sekurang-kurangnya 7 hari dari saat simptom anda bermula (masa yang tepat mungkin berbeza mengikut nasihat kerajaan anda). Tindakan ini akan membantu melindungi orang lain dalam masyarakat anda ketika anda berjangkit
  • Buat rancangan awal dan minta bantuan orang lain. Minta pertolongan dari  majikan anda, kawan, dan keluarga untuk mendapatkan bekalan yang anda perlukan dan biarkan mereka tinggalkannya di luar pintu depan
  • Pastikan jarak yang selamat diamalkan antara anda dan orang lain di rumah anda, dan jika boleh, tidur bersendirian

Kit Keselamatan CPJ dalam talian/online menyediakan wartawan dan balai berita dengan maklumat keselamatan asas fizikal dan digital serta sumber dan peralatan keselamatan psikologi yang turut merangkumi liputan pergolakan sivil dan pilihan raya.

[Catatan editor: Nasihat ini asalnya diterbit pada Februari 10, 2020, dan akan kerap kali disemak semula. Tarikh penerbitan di atas menunjukkan kemas kini yang terbaru.]